Monday, August 31, 2009

Asas pembinaan Keluarga Islam





Hidup berkeluarga bermakna ia suatu perkahwinan yang baik, hubungan suami isteri yang harmoni, kelahiran anak-anak yang sempurna dan anak-anak umpama bintang penghibur. Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa". Islam amat mementingkan pembinaan diri dan keluarga kerana ia dapat mempengaruhi tingkah laku, personaliti dan akhlak seseorang itu. Praktikalnya, pendidikan di peringkat keluarga merupakan elemen yang cukup penting dalam melahirkan individu muslim sejati. Di sini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan sebaik mungkin dalam menyediakan medium tarbiyah yang terbaik untuk anak-anak. Kegagalan pendidikan di peringkat keluarga akan menjurus kepada masalah yang boleh diibaratkan seolah berantai yang akhirnya akan merugikan umat Islam secara amnya. Justeru itu, amat penting untuk membina keluarga islamik kerana dari situ ia dapat melahirkan ummah yang cemerlang di dunia dan di akhirat.


Selain itu, sumber rezeki bagi sesebuah keluarga juga antara aspek yang penting serta Islam juga mengambil kira dalam perkara tersebut. Pastikan sumber yang diperolehi datangnya daripada sumber rezeki yang halal. Ini kerana ia akan memberi kesan dalam kehidupan keluarga tersebut. Aspek lain yang perlu dititikberatkan ialah melalui suasana persekitaran, perancangan yang sempurna dalam sesebuah keluarga supaya ianya nampak lebih teratur untuk menjalani kehidupan yang sakinah dan yang paling penting ialah sesebuah keluarga itu haruslah dibina dengan kasih sayang kerana ia merupakan asas untuk membentuk keluarga Islam. Kasih sayang ini sudah cukup untuk membentuk emosi dan jiwa untuk menjadi seorang insan yang berjiwa tenang dan baik. Dalam pada itu juga, keluarga Islam ini adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan kepada Allah s.w.t yang mana ianya bertujuan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Oleh yang demikian, untuk membina dan membentuk keluarga Islam, maka ianya perlulah kembali kepada pencipta yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang supaya keluarga yang dibina atas asas Islam ini akan dirahmati serta diberkati oleh Allah s.w.t.







Sunday, August 30, 2009

Akidah Ummah


Umumnya di kalangan masyarakat kita telah pun sedia maklum bahawa Islam adalah satu agama yang jauh lebih tinggi dan mulia daripada agama-agama lain. Kita sebagai umat Islam seharusnya menghayati Islam dalam kehidupan. Mungkin sebahagian dari kita menyangka bahawa kita akan menjadi seorang Muslim yang baik setelah menunaikan Rukun Islam yang lima, percaya dan penuh yakin dengan Rukun Iman, tidak rasuah, tidak mencuri, tidak mengumpat dan sebagainya. Namun adakah itu benar ukuran bagi seseorang Muslim yang baik? Kita semuanya mengetahui bahawa Islam bukan sekadar ibadah yang khusus hanya berhubungan dengan Tuhan semata. Islam sebagai "Ad-din" selain mengandungi ibadah-ibadah khusus, ia juga mengandungi ibadah umum atau lebih dikenali sebagai fardu kifayah. Sebab itu ramai di antara para cendekiawan kita pada hari ini cenderung untuk menyebut bahawa Islam bukanlah agama semata tetapi satu cara hidup yang perlu dihayati sepenuhnya jika mahu menjadi seorang Muslim yang baik.

Secara kasar, Islam sebagai satu cara hidup terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama akidah, kedua ibadah dan ketiga syariah. Akidah merupakan pokok dari ajaran Islam. Dalam pengertian yang lebih khusus akidah adalah satu simpulan kepercayaan yang meyakini bahawa Islam itu adalah satu ajaran yang disampaikan oleh Pencipta alam ini melalui para utusannya di mana kepercayaan-kepercayaan itu terangkum di dalamnya aspek-aspek alam ghaib, alam nyata yang berbentuk suruhan, tegahan dan sebagainya. Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai Rabb dan Ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat dan beriman dengan taqdir Allah sama ada baik atau buruk termasuk juga segala apa yang datang dari Allah. Seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuknya. Firman Allah bermaksud: " Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan itu agar mereka selalu ingat" (Surah Ibrahim: 24-25).


Demikian sifat dan tabiatnya akidah Islam itu. Ia merupakan akar tunjang yang menjadi dasar kepada persoalan seterusnya. Hal ini jelas bila kita melihat bila mana ia tidak sempurna, soal yang lain juga akan turut terjejas. Orang yang akidahnya menyeleweng tidak sah melakukan apa sahaja ibadah lainnya, sekalipun cukup syarat-syarat dan sempurna pelaksanaannya. Dengan itu, akidah adalah asas binaan bagi setiap individu Muslim. Apabila Tuhan menetapkan balasan neraka bagi dosa-dosa besar khususnya syirik, tetapi kita masih melaksanakannya, ukurannya di sini ialah kita belum lagi beriman. Singkatnya iman memerlukan kepercayan yang bulat serta amalan yang mengikuti kepercayaan itu. Itulah tabiat dan bentuk akidah Islam. Seseorang yang mempunyai akidah Islam yang jelas dan mempraktikkan apa yang diyakini adalah seorang Muslim yang baik. Tetapi manusia Muslim, seperti juga manusia lainnya tidak boleh hidup seorang diri. Dengan demikian individu Muslim, seperti individu lainnya memerlukan kepada sebuah institusi iaitu masyarakat. Firman Allah bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. "(Ali Imran; 110).
Allah juga menjadikan diri kita sebaik-baik kejadian. Allah memberi kita terlalu banyak nikmat dan kelebihan. Malah, Allah telah jadikan bumi ini untuk tunduk kepada manusia. Betapa Rahman dan Rahim Allah terhadap sekelian makhlukNya. Oleh itu, jika kita merenung alam ini, maka bertambahlah iman kita kepada Allah, betapa kita merasa kerdilnya kita di sisi Allah. Hanya Allah yang berkuasa terhadap alam ini.



Pendidikan dengan Celupan Allah s.w.t




Nabi saw bersabda, bermaksud: 'Anak kecil itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapanya yang membentuknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.' Mengapa tidak disebut Islam dalam hadis di atas? Ada ulama yang menyatakan bahawa jika dibiarkan anak itu membesar dalam keadaan sendirinya, mereka akan mencari Allah dan petunjuk Islam kerana Islam itu adalah fitrah semulajadi manusia. Tetapi Nabi saw menyebut: "Ijtaalat hum usSyayatin' (Syaitan yang menyesat dan menyelewengkan mereka). Siapakah Syaitan itu? Allah berfirman, bermaksud: " ..yang mewas-waskan dalam hati manusia, dari kalangan Jin dan manusia." (rujuk surah A An'am,ayat 112). Syaitan dari kalangan jin adalah jelas. Di kalangan manusia pula, mereka yang bersifat Syaitan adalah manusia yang menyesatkan manusia lain dari jalan Allah. Justru, tak pelik jika sekiranya ibubapa juga boleh menjadi syaitan terhadap anaknya. Syaitan yang bagaimana? Nabi memberitahu bahawa anak-anak adalah seperti kain putih. Ia bersedia menerima apa-apa warna yang dicelup kepadanya. Pendek kata warna yang dicelup kepada kain putih tadi amat penting untuk memastikan warna terbaik bagi kain tersebut. Allah mengingatkan kita, bermaksud: 'Celupan Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya dari celupan Allah. Dan kami menjadi hamba kepadaNya.' (Surah Al-Baqarah, ayat 138).

Celupan Allah tentunya Islam. Celupan Allah bererti kita mesti mendidik anak-anak itu supaya kembali kepada fitrah semulajadinya iaitu Islam. Perkenalkan mereka dari kecil tentang Allah, ajarkan mereka al-Quran, biasakan mereka dengan solat, tutup aurat dan adab. Perkenalkan mereka tentang dosa pahala. Moga-moga mereka dicelup dengan celupan sebenar.


Malangnya, menjadi budaya yang bercanggah dengan Islam apabila anak-anak tadi dibesarkan menurut cara yang bukan diperintah oleh Allah. Al-Quran diganti dengan menyanyi. Hafal lagu lebih penting dari hafaz ayat-ayat Quran. Diajar bermain piano menggantikan mengenal solat. Berfesyen mendedahkan aurat menggantikan adab menutup aurat. Pendek kata kita membesarkan anak-anak dengan cara yang boleh merugikan kita sendiri-dunia dan Akhirat. Sesetengah ibubapa mahukan anaknya cepat menjadi terkenal, cepat kaya melalui publisiti dan gaya hidup yang cukup mudah diraih tanpa banyak usaha. Cara tersebut antaranya dilatih menjadi selebriti, artis dan orang-orang popular secara instant. Tetapi pernahkah ibubapa ini terfikir kesan jangka masa panjang tentang keinginan yang salah itu? Apalah yang boleh diberi syafaat oleh si anak yang menjadi artis popular, selebriti glamour atau bintang handalan di Akhirat kelak untuk ibubapanya? Dirinya sendiri belum tahu untung nasib, sementelah pula mahu menolong orang lain. Bahkan terkadang menjadi musuh pula walaupun terhadap ibubapa dan anak-anak sendiri. Tetapi anak yang hafaz Quran, insyaAllah bukan sahaja boleh membantu dirinya, bahkan ibubapa dan kaum keluarga. Demikian juga anak yang mati syahid, yang alim dan yang soleh. Nabi saw berpesan bahawa di antara amalan yang boleh memberi manfaat kepada kita selepas mati ialah anak soleh yang mendoakan ibubapanya. Kalau kita didik anak-anak dengan celupan Allah, insyaAllah kita tidak akan menyesal nanti. Pahala sentiasa datang kepada kita selepas mati melalui doa dan amalan anak-anak kita. Tetapi jika kita tersalah mendidik mereka, tentunya penyesalan kita tidak akan sudah. 'Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.' Dan tentunya untuk mendidik anak-anak dengan celupan Allah ini datangnya dari kesedaran ibubapa, kefahaman yang jelas tentang Islam kerana implikasi yang baik dan buruk terhasil daripada didikan mereka.



































FoKus Di Bulan RaMaDhaN...


Bulan Ramadhan ada kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat di dalam bulan-bulan lain di samping tuntutan melaksanakan ibadah berpuasa yang menjadi trademark bulan Ramadhan. Kelebihan yang ada merupakan salah satu daripada banyak-banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita diantaranya, Allah menjadikan setiap bulan-bulan Islam itu ada kelebihan dan ceritanya yang tersendiri. Bagi bulan Ramadhan, ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala berganda. Ianya juga menjadi titik tolak kepada keberjayaan seseorang dalam mencapai pangkat 'muttaqin' sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah s.w.t :"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat ke-183).


Taqwa menjadi kayu ukur kepada pencapaian seseorang itu sebagai hamba Allah dan tanpa taqwa, hidup seribu tahun pun ia tetap tidak berguna. Salah satu kunci taqwa ialah 'fokus'. Sebenarnya setiap ibadah yang dilakukan samaada di dalam bulan Ramadhan mahupun diluar bulan Ramadhan perlu kepada fokus dan khusyu' dan kata kuncinya ialah sebagaimana sabda Nabi s.a.w:"Engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, maka sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu."

Di awal surah Al-Mukminun, ada menyatakan bahawa fokus itu merupakan salah satu kunci yang membawa kepada kejayaan. "Berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu' di dalam solatnya." Jika kita lihat, semasa bulan Ramadhan, antara ibadah-ibadah utama yang dituntut untuk dilaksanakan ialah berterawih, membaca Al-Quran dan bersedekah. Maka, yang dikatakan pahala amalan akan digandakan ketika bulan Ramadhan adalah bergantung kepada kualiti dan kuantitinya. Di antara janji syaitan ialah mereka ingin melihat manusia berada di dalam keadaan faqir iaitu faqir pahala manakala sebaliknya mereka berjanji untuk menjadikan kita orang yang kaya dengan dosa. Bulan Ramadhan adalah bulan jihad. Orang kata syaitan tidak ada, tapi kita tahu nafsu masih ada dan takkan melepaskan kita kecuali maut telah tiba. Dan disitulah peranan jihad.

Jihad juga memerlukan fokus kerana jihad tidak terjadi andai tiada ujian dan cabaran. Maka, nafsu adalah cabaran utama bagi orang yang berpuasa. Contoh fokus di dalam jihad ialah, tidak membiarkan minda kita dikuasai kehendak nafsu yang mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa ketika kita menurut kehendaknya yang tidak pernah puas. Puasa adalah perisai. Maka fokus adalah perlu bagi memperolehi puasa yang bermakna. Apabila kita melakukan dosa, maka istighfar dan taubatlah sebagai jalan penghapus dosa. Ingatlah bahawa bulan Ramadhan juga adalah bulan taubat dan pengampunan."Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari, no. 1901; Muslim, no. 760). Maka, fokus menjadi aset menuju taqwa. Ramadhan yang dilalui akan menjadi sia-sia tanpa fokus. Bersama jadikan madrasah Ramadhan sebagai momentum perubahan buat diri kita. InsyaAllah.


Saturday, August 29, 2009

HaLaWatuL UkHuwaH




"Nikmat paling manis apabila ALLAH TAALA mentarbiah kita dengan pelbagai ujian.. Namun tautan ukhuwah mampu berhadapan dengan sejuta kesulitan yang memberikan suntikan semangat perjuangan. Alirkan Halawatul Ukhuwah kesungguhan dalam perjuangan melalui RABITAH HATI.."



UKHUWAH itu terlalu indah diungkapkan dan terlalu manis apabila dihiasi dengan kasih sayang kejujuran dan keikhlasan, namun tidak semua manusia menghargai sesebuah ukhuwah tersebut. ukhuwah itu persis untaian tasbih..ada awal dan akhirnya..dicantum kerana-NYA..diratib juga kerana-NYA. Ukhuwah itu terlalu indah kerana titik pertemuan ukhuwah yang sebenarnya adalah semuanya kerana RABBUL IZZATI. Sabda Rasullulah S.A.w.."umatku masuk syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa dan kasih sayang kepada sesama muslim.." Tidak rugi andai kita bersahabat ukhuwah fillah kerana ALLAH. Ukhuwah merupakan satu pemberian daripada ALLAH TAALA kepada hambaNYA yang ikhlas dan Auliya'nya yang suci dan bersih. Ukhuwah merupakan kekuatan iman. Tiada ukhuwah tanpa iman dan tidak sempurna iman seseorang tanpa ukhuwah islamiyah sepertimana firman ALLAH S.W.T yang bermaksud.. "sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.."(AL-HUJARAT:10)

Sahabat... Nilaian ukhuwah sangat tinggi menyebabkan ianya tidak dapat dibeli dengan harta ataupun diwariskan. Ianya merupakan roh yang ALLAH hidupkan ke dalam hati orang-orang yang beriman bila-bila masa sahaja yang dikehendaki-NYA supaya mereka bersatu..

Mari kita renungi keutamaan berukhuwah...

-Terpancar sinar cahaya daripada wajah-wajah mereka..

-Mendapat perlindungan 'Arasy ALLAH S.W.T pada hari kiamat kelak

-Dimasukkan ke dalam syurga ALLAH dan mendapat keredhaanNYA

-Diampunkan dosa-dosa mereka -Akan mendapat kasih sayang ALLAH

-Sesungguhnya mereka inilah yang akan mendapat halawatul iman sahabat....
Ukhuwah itu perlulah ikhlas kerana ALLAH dan mestilah disertai dengan iman dan taqwa serta perlulah berlandaskan manhaj islam iaitu bersama-sama berjanji untuk menegakkan syariat ALLAH dan menjadikan RASULULLAH sebagai rujukan dalam setiap keadaan.
Ukhuwah juga didirikan atas dasar nasihat menasihati kerana ALLAH. Sahabat... ukhuwah merupakan pemberian RABBANI yang dianugerahkan ALLAH ke dalam hati hamba-hambaNYA yang ikhlas menerima dan beriman.

Ukhuwah dapat diselami apabila kita:
"Sekiranya seseorang menyukai saudaranya,hendaklah dia beritahu saudara tersebut bahawa dia menyayanginya." (sabda NABI S.A.W riwayat ABU DAUD & TARMIZI)
"Sekiranya berpisah,maka mintalah saudaranya untuk mendoakan dirinya semasa ghaib." (sabda NABI S.A.W riwayat ABU DAUD & TARMIZI)
"Hendaklah memaniskan muka dan bersalaman setiap kali bertemu."
"Memperbanyakkan ziarah saudaranya dari semasa ke semasa"
"Hendaklah ucapkan tahniah tatkala berjaya dalam apa jua keadaan"
"Hendaklah memberi hadiah pada waktu-waktu tertentu"
"Hendaklah prihatin keadaan saudaranya dan sentiasa menghlurkan bantuan apabila diperlukan."
"Memenuhi hak ukhuwah secara sempurna."

Sumber: http://www.iluvislam.com/v1/artikel_terbaru.php

Moga indah ukhuwah kita bertemu dan berpisah kerana ALLAH TAALA..

"Tautan Mahabbah pengikat ukhuwah,
Ta'arif bersemi mesra abadi,
Begitu indah ukhuwahfillah,
Wasilah mendamba cinta Illahi."