Monday, October 12, 2009

Mesir:kawan atau lawan kepada Palestin

Mesir merupakan negara Islam dan peranan negara Islam seharusnya membantu serta menolong negara Islam yang lain daripada pihak yang hendak menentang Islam, akan tetapi negara Mesir telah membiarkan rakyat Palestin diserang oleh pihak musuh iaitu Israel. Bahkan dalam masa yang sama pemerintah Mesir sendiri telah menghalang sempadan dari dibuka kepada rakyat Palestin dan menghalang pasukan perubatan memasuki Gaza. Adakah ini sikap yang patut diikuti oleh negara Islam lain yang sanggup membiarkan saudara sendiri ditindas dan hidup dalam kesusahan tanpa bantuan saudara islam yang lain? Seharusnya tanggungjawab Muslim mengutamakan kebajikan dan menolong sesama Muslim bukannya mengkhianati saudara seagama sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w: "Jadilah kamu semua sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim (yang lain). Janganlah dia menzaliminya, dan janganlah mengabaikan dia apabila dia memerlukan pertolongan, dan janganlah memperkecilkannya.." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Umat Islam di Palestin juga adalah saudara-saudara kita yang sama-sama mengucapkan dua kalimah syahadah. Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan mereka mengerjakan solat serta memberi zakat. Maka sekiranya mereka melakukan perkara itu, terpeliharalah darah (nyawa) mereka dan harta benda mereka daripadaku kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan mereka adalah atas ketentuan Allah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Berdasarkan hadis di ini, kita sebagai umat Islam perlu mengetahui bahawa seluruh umat Islam yang sama-sama mengucapkan dua kalimah syahadah berada dalam satu keterikatan yang mengikat mereka saling bergandingan dan memikul tanggungjawab memberikan bantuan ketika saudara-saudara Islam ditimpa musibah dan ancaman terhadap nyawa, harta-benda dan maruah mereka.

Dr Omar Abu Ubaid dari Institut Antarabangsa Al-Quds yang pernah bertugas sebagai wakil Hamas di Sudan menjadikan beliau salah seorang pemimpin komuniti Palestin pernah berkata bahawa yang mengepung wilayah Gaza adalah Mesir dan bukannya Israel atau Amerika Syarikat. Maka dengan itu, secara rumusannya ialah kita sebagai umat Islam mestilah saling bantu-membantu antara satu sama lain dan merasai kesengsaraan yang dialami oleh mereka iaitu kawan bukannya bekerjasama dengan musuh Islam untuk menghancurkan saudara seislam sendiri iaitu lawan kerana perbuatan ini sangat dimurkai oleh Allah s.w.t.

Sunday, October 11, 2009

Perlaksanaan Hukuman Ta'zir

Ta'zir menurut pengertian syara' ialah sejenis hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya atau bentuknya yang dilaksanakan bagi menunaikan hak Allah s.w.t dan hak manusia terhadap kesalahan-kesalahan yang selain hukuman qisas, hudud, diyat dan kifarat. Ia dinamakan hukuman ta'zir kerana disebabkan wujudnya hukuman tersebut menghalang orang-orang yang melakukan kesalahan daripada melakukan kesalahan atau mengulanginya pada masa akan datang. Hukum yang berkaitan dengan ta'zir tidak terdapat di dalam al-Quran dan Hadis, yang mana ianya terserah kepada budi bicara dan kepakaran hakim serta pemerintah untuk menetapkan sesuatu kesalahan itu dengan hukuman demi kepentingan penjenayah, masyarakat serta negara. Hukuman ta'zir ini juga berubah mengikut corak hidup masyarakat, individu dan keadaan. Selain itu, hukuman ini tidak terhad sama ada dengan denda, penjara, rampas harta atau buang negeri dan ianya meliputi ruang dan aspek yang luas seperti berkhalwat, pecah amanah, rasuah, mengedar dadah, menagih dadah dan sebagainya.

Tujuan pelaksanaan ta'zir adalah untuk mengawal keadaan dan undaang-undang supaya ia tidak disalahgunakan serta tidak ada penyalahgunaan kuasanya oleh sesiapa selain hakim. Tujuan pelasanaannya yang lain ialah:

-Untuk menjaga kepentingan masyarakat umum.
-Perlaksanaannya adalah melalui pertimbangan yang wajar dan berkesan oleh hakim atau pemerintah untuk menolong orang yang bersalah dan masyarakat mengambil pengajaran serta menghindarkan perbuatan jahat demi kesejahteraan manusia sejagat.

-Hukuman ta'zir janganlah melebihi hukuman hudud.

-Ta'zir mestilah dilakukan dengan adil jika pesalah terdiri daripada beberapa orang yang melakukan kesalahan yang sama.

Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa keluasan bidang kesalahan ta'zir ini dan juga pembalasannya tidak terbatas dan tidak terikat dengan jenis hukuman tertentu dan ianya dilaksanakan terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tanpa mengira umur dan agamanya. Maka dengan itu, hukuman ini dapat menyelesaikan sebahagian besar kesalahan-kesalahan yang berlaku di dalam masyarakat pada hari ini yang mana ianya tidak dapat dijalankan menurut peruntukan-peruntukan kesalahan hudud dan qisas.

Amanah kepimpinan seorang pemimpin



Kepimpinan adalah suatu tuntutan dan kewajipan yang perlu dipenuhi bagi setiap manusia terutamanya para pemimpin khususnya dalam sesebuah negara yang dipimpinnya. Amanah kepimpinan itu sangat berat dan tanggungjawabnya amatlah besar kerana ianya bukanlah amanah yang diberi secara percuma dan bukan sahaja tugas yang memenuhi kehendak rakyat semata-mata tetapi ianya lebih daripada itu. Pemimpin yang telah diberikan kuasa dan pangkat haruslah sedar akan kewajipan yang perlu dilaksanakan dan janganlah sesekali terleka dan lalai dengan kuasa serta pangkat yang ada mahupun terpedaya dengan sanjungan, harta, kelengkapan ataupun pujian yang terdapat disekelilingnya. Sesungguhnya pemimpin mestilah bersifat secara sederhana dan mengambil apa yang diperlukan sahaja kemudian bahagikan serta agihkan lebihan harta kepada masyarakat yang berada di bawah pimpinan mereka untuk keperluan rakyatnya supaya dengan apa yang dilakukannya itu mendapat keberkatan Allah s.w.t. Amanah dan tanggungjawab seseorang pemimpin itu cukup besar kerana segalanya terbeban di bahunya kerana pemimpin yang akan ditanya jika seorang rakyatnya mati kelaparan. Antara tanggungjawab pemimpin ialah:
  1. Memelihara agama daripada dicemari

  2. Melaksanakan hukum Allah s.w.t dan perundangan Islam

  3. Menguruskan peruntukan daripada baitul mal

  4. Melantik orang yang cekap dan amanah

  5. Mengawasi orang bawahan

  6. Menyampaikan dakwah

  7. Wujudkan perpaduan Ummah

  8. Menjadi contoh

  9. Melindungi rakyat dan negara

Di dalam Islam, terdapat ciri-ciri kepimpinannya yang tersendiri iaitu:

  1. Seorang yang setia (wala)

  2. Melaksanakan matlamat Islam yang menyeluruh

  3. Beriltizam dan beristiqamah dengan ajaran Islam

  4. Sentiasa menegakkan keadilan dan kebenaran

  5. Ikhlas dan jujur

  6. Menjadikan kepimpinan Rasulullah s.a.w sebagai contoh
Contohnya melalui kepimpinan empat khalifah terdahulu iaitu khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib yang mana kepimpinan mereka seharusnya diteladani. Selain itu juga melalui kepimpinan Hasan al-Banna dalam Ikhwanul Muslimin yang merupakan salah satu parti politik yang bersih bertujuan menyatukan suara rakyat, membersihkan dirinya dan keinginan peribadi, menentukan tujuan dan memperbaiki kepimpinan. Ia juga merupakan sebagai organisasi dakwah yang mana fokus gerakan dakwah yang dipimpin olehnya ialah melalui pembentukan peribadi-peribadi yang baik, maka akan terbentuk keluarga yang Islami, dan daripada keluarga yang Islami akan terbina sebuah masyarakat Muslim yang diredhai Allah s.w.t. Oleh yang demikian, para pemimpin perlu mengikut panduan yang paling benar iaitu al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Maka gunakanlah ia dalam metod kepimpinan dengan sebaiknya supaya ia tidak sekali-kali akan tersesat dengan dua rujukan berguna tersebut.



Saturday, October 10, 2009

Ar-Rahn dalam Muamalat Islam


Ekonomi Islam itu bukanlah satu bidang ekonomi tertentu atau ianya adalah nama bagi ekonomi tertentu. Ekonomi Islam merupakan ekonomi yang tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam dan cara-cara susunannya itu tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka ianya dikira sebagai ekonomi Islam. Hal-hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dan muamalah (urusan) sesama manusia adalah diberikan keluasan oleh agama, asalkan tidak melanggar batas-batas agama. Dalam ekonomi Islam, ia mempunyai empat hipotesis, iaitu:
  1. Kesepaduan antara kegiatan ekonomi dengan nilai-nilai akhlak yang mulia.

  2. Keseimbangan yang adil dalam hubungan pengeluaran, penggunaan dan pengagihan.

  3. Kombinasi antara kebebasan individu, dengan pihak berkuasa.

  4. Tanggungjawab sebagai asas penentuan dasar agihan dan pemindahan sumber.

Oleh itu, beberapa langkah perlu diambil bagi melaksanakan sistem ekonomi Islam,antaranya ialah:

  1. Perlu ada pemahaman tentang akidah.

  2. Pihak pemerintah mesti memainkan peranan yang lebih aktif dan penting bagi memastikan bahawa sistem ekonomi itu berjalan dengan adil dan seimbang mengikut lunas-lunas serta cara-cara Islam.

  3. Pihak pemerintah juga mesti berkuasa penuh dalam penetapan kewangan.

Pada hari ini bank-bank perdagangan berpeluang mendapatkan wang melalui skim pinjaman wang. Dalam Islam tidak ada bayaran tambahan yang perlu dibayar selain daripada tambahan yang perlu dibayar daripada jumlah yang telah dipinjam. Jika ianya dibayar lebih selain daripada jumlah yang dipinjam, ia adalah riba. Ini adalah sama dengan urusan bank negara Barat yang diselaputi dengan amalan riba dan dengan pembangunan negara mengikut sistem kapitalis Barat di mana akan berlaku amalan riba di dalam urusan bank mahupun dalam perniagaan dan ini adalah haram di sisi undang-undang Islam serta ditegah oleh Islam. Walaupun begitu, perlu ditegaskan di sini bahawa pengharaman Islam terhadap pembangunan ekonomi cara Barat yang menggunakan riba tidak bermakna kita tidak boleh melakukan dan melaksanakan pembangunan dalam masyarakat, tetapi apa ingin ditekankan adalah semua urusan tersebut mestilah mengikut lunas-lunas Islam maksudnya mestilah bebas dari amalan riba dan yang tidak diharamkan dalam Islam.

Dalam konteks kewangan Islam, pajak gadai boleh diamalkan dan ianya lebih dikenali dengan nama skim ar-Rahn. Ar-Rahn atau gadaian ini adalah meletakkan sesuatu barang yang berharga sebagai jaminan kepada sesuatu hutang yang diperolehi oleh seseorang pemberi hutang dengan perkiraan bahawa jika orang yang berhutang tidak dapat melunasi hutangnya, maka pemberi hutang boleh mendapatkan kembali barang atau wangnya daripada barang gadaian itu. Matlamat utama pelaksanaan skim ar-Rahn ialah untuk menghindarkan masyarakat terutamanya umat Islam daripada terus berurusan dan terlibat dengan riba. Selain itu, skim ar-Rahn adalah untuk memberi alternatif kepada orang Islam khususnya dalam melakukan kontrak pajak gadai secara Islam seterusnya mengelak daripada menjadi mangsa penyelewengan dan penipuan dalam kebanyakan skim pajak gadai konvensional. Oleh yang demikian, ar-Rahn ini adalah salah satu daripada cara bermuamalat dan merupakan kemudahan yang diberikan kepada umatnya tanpa membebankan manusia.

Tuesday, October 6, 2009

Budaya Hari 'April Fool'


Budaya 'April Fool' atau April's Fool Day ini telah menjadi amalan biasa oleh masyarakat kini termasuk orang Islam sendiri. April's Fool Day ini diraikan pada 1 April setiap tahun yang mana seperti yang kita ketahui, pada tarikh tersebut segala bentuk gurauan dan sendaan seolah-olah menjadi tabiat dan ianya dilakukan kepada rakan-rakan dan kaum keluarga dengan tujuan untuk mengenakan orang lain. Namun ada masanya gurauan tersebut agak melampaui batas dan bertentangan dengan adab tatasusila kepada mangsanya sehingga ia boleh menimbulkan pergaduhan dan perasaan benci serta dendam. April Fool ini juga merupakan satu contoh budaya negatif iaitu ianya diambil dan ditiru daripada negara Barat. Budaya ini boleh menyebabkan kehidupan sosial masyarakat jauh menyimpang daripada akhlak yang murni di mana akibatnya umat Islam semakin lama semakin terhakis serta hilang jati diri mereka. Dalam pada masa yang sama budaya April Fool ini nyata sekali mempersendakan sesama manusia dan ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w juga melarang keras manusia memperolok-olokkan sesama manusia lain dan tujuannya jelas mempermainkan serta mempersendakan lalu menjadi bahan ketawa rakan-rakan lain. Bagi yang menjadi mangsa pula, ia akan berasa amat malu apabila diketawakan dan diperlakukan sebegitu rupa. Sebagaimana dalam hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi, baginda bersabda yang bermaksud:

"Celakalah bagi orang-orang yang bercakap dengan percakapan lucu dengan tujuan mentertawakan manusia (agar manusia lain akan ketawa hasil dari percakapannya itu) lalu dia berbohong, celakalah baginya, celakalah baginya."

April Fool ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Terdapat dua cerita berkaitan dengannya iaitu salah satunya ialah kisah yang berlaku di Granada, Sepanyol ketika umat Islam kalah dalam menentang tentera salib. Inilah kisah realiti di sebalik budaya April Fool ini, orang Islam khususnya sangat seronok menyambutnya pada masa kini sedangkan dalam sejarah, umat Islam telah berpecah belah dan terpaksa tunduk pada kekuasaan tentera salib akibat kelalaian mereka sendiri. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merenungkan kembali mengenai budaya April Fool ini yang mana ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Umat Islam kini mudah dipergunakan dan terpengaruh dengan budaya yang datang daripada barat tanpa memikirkan kesannya. Justeru itu, umat Islam perlu sedar dan berhati-hati dalam menerima segala bentuk budaya kerana ditakuti bertentangan denga akidah Islam walaupun pada mulanya ia sekadar suka-suka tanpa berniat jahat tetapi tidak mustahil akan berakhir dengan tragedi yang tidak diingini dalam budaya April Fool ini.


Sunday, October 4, 2009

Mahasiswa dan Hedonisme


Seperti yang diketahui, hedonisme merupakan budaya hiburan yang melampau-lampau yang mana ianya semakin berleluasa di kalangan mahasiswa. Sikap mahasiswa yang inginkan keseronokan dan hiburan yang tidak mengira masa, tempat mahupun hukumnya di sisi agama. Hedonisme ini asalnya dari Barat yang mana media massa barat ini banyak memaparkan program-program realiti mereka yang tersendiri. Ini bermakna ia bukanlah budaya kita yang sebenar, akan tetapi Hedonisme ini semakin hari semakin mempengaruhi dan meresap ke dalam jiwa pemuda-pemudi khususnya yang beragama Islam. Secara tidak langsung budaya ini telah mempengaruhi identiti dan tingkah laku golongan pemuda-pemudi ini yang memberi kesan negatif terhadap diri mereka ini. Hedonisme ini juga merupakan salah satu sebab dan faktor berleluasanya zina. Ini kerana berlakunya percampuran dan pergaulan yang bebas di kalangan lelaki dan perempuan dan ianya tidak mustahil boleh berlakunya maksiat antara mereka.

Mahasiswa merupakan golongan intelektual yang dipandang tinggi dan mempunyai keistimewaannya di mata masyarakat. Namun demikian, dengan sikap mahasisiwa yang seakan-akan leka dan lalai kepada hiburan dan lupa kepada amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepada mereka, maka mahasiswa kini tiada bezanya dengan golongan sebaya mereka yang lain. Mentaliti mahasiswa kini lebih banyak inginkan hiburan iaitu mereka banyak menganjurkan program-program dan pertandingan-pertandingan berbentuk hiburan semata-mata. Selain itu, bahayanya hedonisme ini ialah tanpa kita sedari ianya memegang kepada pandangan Epikuris yang menyatakan bahawa: "Bergembiralah engkau hari ini, puaskanlah nafsumu kerana esok engkau akan mati". Di sini membuktikan bahawa budaya ini hanya menganggap kesenangan dan keseronokan adalah tujuan hidup tanpa memandang kepada perkara lain.

Oleh yang demikian, kepada mahasiswa sedarlah dan ingatlah bahawa kita merupakan bakal mewarisi kepimpinan negara dan tunggak harapan negara. Mahasiswalah pada masa akan datang adalah golongan yang akan mencorakkan kepimpinan negara. Janganlah terpengaruh dan terpedaya dengan keasyikkan dunia yang sementara ini. Kembalilah kepada fitrah asal kejadian kita diciptakan di dunia ini.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu". Sahabat pun bertanya kepada baginda, "Apakah penyakit itu wahai Rasulullah?" Rasulullah pun menjawab, "Penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu mewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu-menipu dalam merebut harta dunia, saling memarahi dan hasut-menghasut sehingga zalim-menzalimi".




Saturday, October 3, 2009

Penjagaan Kesihatan dalam Islam

Dalam Islam, terdapat rahsia-rahsia ilmunya yang tersendiri. Tidak semua orang Islam mengetahui ilmu-ilmu dalam Islam secara menyeluruh dan mendalam. Menjaga kesihatan adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia supaya kita terhindar daripada penyakit-penyakit yang yang tidak diingini dan bahaya. Di dalam al-Quran juga ada mengajar kita bagaimana menjaga kesihatan iaitu membuat amalan-amalan seperti:-
1) Mandi Pagi sebelum subuh atau sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik. Ini kerana air sejuk yang meresap ke dalam badan boleh mengurangkan lemak mengumpul. Kita boleh saksikan orang mengamal mandi pagi kebanyakan badan tak gemuk.
2) Mengamalkan minum air sejuk pada waktu pagi. Rasulullah s.a.w mengamalkan minum segelas air sejuk (bukan air ais) setiap pagi. Mujarabnya, Insyaallah akan menjauhkan diri kita daripada penyakit iaitu susah hendak kena penyakit.
3) Waktu sembahyang subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelakkan dari sakit pening atau migrin. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yg tidak dipenuhi darah. Apabila dengan bersujud, maka darah akan mengalir ke ruang yang berkenaan.
4) Makan dengan menggunakan tangan. Nabi Muhammad s.a.w juga mengajar kita makan dengan menggunakan tangan dan apabila selesai makan, hendaklah menjilat jari tersebut. Ini kerana ahli saintis juga telah menjumpai bahawa enzyme banyak terkandung di celah jari- jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (Enzyme sejenis alat percerna makanan, tanpanya makanan tidak akan terhadam).
Selain itu, makanan yang kita makan sehari-hari perlu dijaga untuk mengelakkan penyakit -penyakit yang tidak diingini seperti kencing manis, keracunan makanan, jantung dan lain-lain. Kita seharusnya mencontohi amalan pemakanan dan diet Rasulullah s.a.w kerana baginda pandai menjaga pemakanannya dan tidak pernah sakit perut sepanjang hayatnya. Antaranya ialah tidak boleh makan makanan darat bercampur dengan makanan laut. Contohnya, Nabi s.a.w pernah menegah kita makan ikan bersama susu kerana bimbang akan cepat mendapat penyakit. Oleh yang demikian, penjagaan kesihatan sangat penting dalam kehidupan supaya kita tidak dihidapi penyakit dan dapat hidup secara sihat berpandukan cara-cara yang betul.

Kemerdekaan yang Sebenar


Di zaman Rasulullah s.a.w, Mekah berada di bawah pemerintahan Jahiliah dan baginda berjuang di Mekah selama 13 tahun bagi menyeru manusia supaya mentauhidkan Allah s.w.t. Dakwah baginda dihalang dan ditentang oleh kafir quraisy bahkan oleh Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Walau bagaimanapun, dakwah Rasulullah s.a.w telah memikat hati hamba abdi seperti Bilal Ibnu Rabbah, Umar al-Khattab yang merupakan seorang yang amat digeruni dan hatinya sangat keras namun dapat dilembutkan dengan alunan bacaan al-Quran. Kafir quraisy telah menyiksa umat Islam sehingga Sumayyah mengorbankan nyawanya demi Islam dan merupakan umat Islam yang pertama mati syahid. Kafir quraisy juga ingin memboikot umat Islam, bahkan merancang membunuh nabi s.a.w. Di zaman yang moden ini pula, negara umat Islam majoritinya berkerajaan sekular seperti Mesir yang menghancurkan akidah umat Islam. Maka dengan itu, bangkitlah pejuang-pejuang Islam seperti Ikhwahul Muslimin membela Islam.

Dahulunya negara umat Islam dijajah oleh negara musuh Islam seperti British, Perancis dan sebagainya, dengan itu ramailah pejuang-pejuang Islam menuntut kemerdekaan sebagaimana di zaman Rasulullah s.a.w. Seramai 313 orang Islam menyertai dalam peperangan Badar untuk menuntut kemerdekaan Mekah yang mana Allah s.w.t telah membantu baginda serta pengikut-pengikutnya dan memberi kemerdekaan kepada mereka sehingga manusia berduyun-duyun memeluk agama Islam. Namun begitu, di zaman kini, semakin ramai umat Islam yang murtad dan orang kafir sedaya upaya untuk mempengaruhi umat Islam dengan meracuni pemikiran dan minda mereka dengan pelbagai perkara. Sesungguhnya kemerdekaan yang sebenar bukanlah merdeka dari jahiliah dan membangunkan jahiliah yang lain seperti dari negara yang dijajah kepada negara sekular. Musuh Allah s.w.t menyebarkan fitnah kepada umat Islam yang mereka jajah bahawa melantik ketua Negara daripada kalangan orang yang bertaqwa dan membangunkan negara dengan Islam akan menuju kepada kemunduran.

Dalam perjuangan Rasulullah s.a.w, baginda ingin menegakkan agama Allah s.w.t sama ada terhadap diri atau masyarakat atau negara bukan memperjuangkan bangsa Arab (nasionalisme) dan bukan memperjuangkan negara (wathaniah). Maka di situlah bermulanya pertolongan Allah s.w.t dan di sini terjawab siapakah benar perjuangannya antara golongan yang membela agama atau golongan membela bangsa dan negara? Pertolongan Allah s.w.t hanya kepada golongan yang membela agama sahaja yang mencapai kemerdekaan sebenar. Apabila sudah merdeka, Allah s.w.t memperlihatkan pada mereka bahawa ramai yang memeluk agama Allah, bukannya apabila sudah merdeka sekian lama memperlihatkan bahawa ramai jumlah orang Islam yang murtad. Oleh itu, perjuangan kita sebagai Muslim hendaklah berlandaskan perintah Allah s.w.t. Jika di zaman moden ini, yahudi mempunyai ketuanya, Olmert, kristian mempunyai ketuanya, Pope tetapi Islam mana ketuanya? Dahulu Rasulullah s.a.w adalah ketuanya tetapi kini ulama' merupakan pewaris nabi dan angkatlah ulama' sebagai pemimpinmu bukan sebagai musuhmu.