Hidup berkeluarga bermakna ia suatu perkahwinan yang baik, hubungan suami isteri yang harmoni, kelahiran anak-anak yang sempurna dan anak-anak umpama bintang penghibur. Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa". Islam amat mementingkan pembinaan diri dan keluarga kerana ia dapat mempengaruhi tingkah laku, personaliti dan akhlak seseorang itu. Praktikalnya, pendidikan di peringkat keluarga merupakan elemen yang cukup penting dalam melahirkan individu muslim sejati. Di sini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan sebaik mungkin dalam menyediakan medium tarbiyah yang terbaik untuk anak-anak. Kegagalan pendidikan di peringkat keluarga akan menjurus kepada masalah yang boleh diibaratkan seolah berantai yang akhirnya akan merugikan umat Islam secara amnya. Justeru itu, amat penting untuk membina keluarga islamik kerana dari situ ia dapat melahirkan ummah yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Selain itu, sumber rezeki bagi sesebuah keluarga juga antara aspek yang penting serta Islam juga mengambil kira dalam perkara tersebut. Pastikan sumber yang diperolehi datangnya daripada sumber rezeki yang halal. Ini kerana ia akan memberi kesan dalam kehidupan keluarga tersebut. Aspek lain yang perlu dititikberatkan ialah melalui suasana persekitaran, perancangan yang sempurna dalam sesebuah keluarga supaya ianya nampak lebih teratur untuk menjalani kehidupan yang sakinah dan yang paling penting ialah sesebuah keluarga itu haruslah dibina dengan kasih sayang kerana ia merupakan asas untuk membentuk keluarga Islam. Kasih sayang ini sudah cukup untuk membentuk emosi dan jiwa untuk menjadi seorang insan yang berjiwa tenang dan baik. Dalam pada itu juga, keluarga Islam ini adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan kepada Allah s.w.t yang mana ianya bertujuan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Oleh yang demikian, untuk membina dan membentuk keluarga Islam, maka ianya perlulah kembali kepada pencipta yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang supaya keluarga yang dibina atas asas Islam ini akan dirahmati serta diberkati oleh Allah s.w.t.