Sunday, August 30, 2009

Akidah Ummah


Umumnya di kalangan masyarakat kita telah pun sedia maklum bahawa Islam adalah satu agama yang jauh lebih tinggi dan mulia daripada agama-agama lain. Kita sebagai umat Islam seharusnya menghayati Islam dalam kehidupan. Mungkin sebahagian dari kita menyangka bahawa kita akan menjadi seorang Muslim yang baik setelah menunaikan Rukun Islam yang lima, percaya dan penuh yakin dengan Rukun Iman, tidak rasuah, tidak mencuri, tidak mengumpat dan sebagainya. Namun adakah itu benar ukuran bagi seseorang Muslim yang baik? Kita semuanya mengetahui bahawa Islam bukan sekadar ibadah yang khusus hanya berhubungan dengan Tuhan semata. Islam sebagai "Ad-din" selain mengandungi ibadah-ibadah khusus, ia juga mengandungi ibadah umum atau lebih dikenali sebagai fardu kifayah. Sebab itu ramai di antara para cendekiawan kita pada hari ini cenderung untuk menyebut bahawa Islam bukanlah agama semata tetapi satu cara hidup yang perlu dihayati sepenuhnya jika mahu menjadi seorang Muslim yang baik.

Secara kasar, Islam sebagai satu cara hidup terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama akidah, kedua ibadah dan ketiga syariah. Akidah merupakan pokok dari ajaran Islam. Dalam pengertian yang lebih khusus akidah adalah satu simpulan kepercayaan yang meyakini bahawa Islam itu adalah satu ajaran yang disampaikan oleh Pencipta alam ini melalui para utusannya di mana kepercayaan-kepercayaan itu terangkum di dalamnya aspek-aspek alam ghaib, alam nyata yang berbentuk suruhan, tegahan dan sebagainya. Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai Rabb dan Ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat dan beriman dengan taqdir Allah sama ada baik atau buruk termasuk juga segala apa yang datang dari Allah. Seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuknya. Firman Allah bermaksud: " Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan itu agar mereka selalu ingat" (Surah Ibrahim: 24-25).


Demikian sifat dan tabiatnya akidah Islam itu. Ia merupakan akar tunjang yang menjadi dasar kepada persoalan seterusnya. Hal ini jelas bila kita melihat bila mana ia tidak sempurna, soal yang lain juga akan turut terjejas. Orang yang akidahnya menyeleweng tidak sah melakukan apa sahaja ibadah lainnya, sekalipun cukup syarat-syarat dan sempurna pelaksanaannya. Dengan itu, akidah adalah asas binaan bagi setiap individu Muslim. Apabila Tuhan menetapkan balasan neraka bagi dosa-dosa besar khususnya syirik, tetapi kita masih melaksanakannya, ukurannya di sini ialah kita belum lagi beriman. Singkatnya iman memerlukan kepercayan yang bulat serta amalan yang mengikuti kepercayaan itu. Itulah tabiat dan bentuk akidah Islam. Seseorang yang mempunyai akidah Islam yang jelas dan mempraktikkan apa yang diyakini adalah seorang Muslim yang baik. Tetapi manusia Muslim, seperti juga manusia lainnya tidak boleh hidup seorang diri. Dengan demikian individu Muslim, seperti individu lainnya memerlukan kepada sebuah institusi iaitu masyarakat. Firman Allah bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. "(Ali Imran; 110).
Allah juga menjadikan diri kita sebaik-baik kejadian. Allah memberi kita terlalu banyak nikmat dan kelebihan. Malah, Allah telah jadikan bumi ini untuk tunduk kepada manusia. Betapa Rahman dan Rahim Allah terhadap sekelian makhlukNya. Oleh itu, jika kita merenung alam ini, maka bertambahlah iman kita kepada Allah, betapa kita merasa kerdilnya kita di sisi Allah. Hanya Allah yang berkuasa terhadap alam ini.



2 comments:

  1. Hi, it's a very great blog.
    I could tell how much efforts you've taken on it.
    Keep doing!

    ReplyDelete
  2. Islam adalah sebaik-baik agama yang bersifat universal. Islam adalah ad-din yg meliputi semua aspek. Islam yang diselangi dengan akidah akan menjadikan Ad-din akan lebih mantap dan disegani. Allah menurunkan sesuatu pasti ada hikmahnya.Begitulah juga Allah utuskan Rasul untuk membimbing manusia tentang erti Islam yang sebenar-benarnya..Syabas kepada penulis kerana artikel yg menarik ini..

    ReplyDelete