Mesir merupakan negara Islam dan peranan negara Islam seharusnya membantu serta menolong negara Islam yang lain daripada pihak yang hendak menentang Islam, akan tetapi negara Mesir telah membiarkan rakyat Palestin diserang oleh pihak musuh iaitu Israel. Bahkan dalam masa yang sama pemerintah Mesir sendiri telah menghalang sempadan dari dibuka kepada rakyat Palestin dan menghalang pasukan perubatan memasuki Gaza. Adakah ini sikap yang patut diikuti oleh negara Islam lain yang sanggup membiarkan saudara sendiri ditindas dan hidup dalam kesusahan tanpa bantuan saudara islam yang lain? Seharusnya tanggungjawab Muslim mengutamakan kebajikan dan menolong sesama Muslim bukannya mengkhianati saudara seagama sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w: "Jadilah kamu semua sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim (yang lain). Janganlah dia menzaliminya, dan janganlah mengabaikan dia apabila dia memerlukan pertolongan, dan janganlah memperkecilkannya.." (Hadis riwayat Imam Muslim). Umat Islam di Palestin juga adalah saudara-saudara kita yang sama-sama mengucapkan dua kalimah syahadah. Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan mereka mengerjakan solat serta memberi zakat. Maka sekiranya mereka melakukan perkara itu, terpeliharalah darah (nyawa) mereka dan harta benda mereka daripadaku kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan mereka adalah atas ketentuan Allah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Berdasarkan hadis di ini, kita sebagai umat Islam perlu mengetahui bahawa seluruh umat Islam yang sama-sama mengucapkan dua kalimah syahadah berada dalam satu keterikatan yang mengikat mereka saling bergandingan dan memikul tanggungjawab memberikan bantuan ketika saudara-saudara Islam ditimpa musibah dan ancaman terhadap nyawa, harta-benda dan maruah mereka.










