Sunday, October 11, 2009

Amanah kepimpinan seorang pemimpin



Kepimpinan adalah suatu tuntutan dan kewajipan yang perlu dipenuhi bagi setiap manusia terutamanya para pemimpin khususnya dalam sesebuah negara yang dipimpinnya. Amanah kepimpinan itu sangat berat dan tanggungjawabnya amatlah besar kerana ianya bukanlah amanah yang diberi secara percuma dan bukan sahaja tugas yang memenuhi kehendak rakyat semata-mata tetapi ianya lebih daripada itu. Pemimpin yang telah diberikan kuasa dan pangkat haruslah sedar akan kewajipan yang perlu dilaksanakan dan janganlah sesekali terleka dan lalai dengan kuasa serta pangkat yang ada mahupun terpedaya dengan sanjungan, harta, kelengkapan ataupun pujian yang terdapat disekelilingnya. Sesungguhnya pemimpin mestilah bersifat secara sederhana dan mengambil apa yang diperlukan sahaja kemudian bahagikan serta agihkan lebihan harta kepada masyarakat yang berada di bawah pimpinan mereka untuk keperluan rakyatnya supaya dengan apa yang dilakukannya itu mendapat keberkatan Allah s.w.t. Amanah dan tanggungjawab seseorang pemimpin itu cukup besar kerana segalanya terbeban di bahunya kerana pemimpin yang akan ditanya jika seorang rakyatnya mati kelaparan. Antara tanggungjawab pemimpin ialah:
  1. Memelihara agama daripada dicemari

  2. Melaksanakan hukum Allah s.w.t dan perundangan Islam

  3. Menguruskan peruntukan daripada baitul mal

  4. Melantik orang yang cekap dan amanah

  5. Mengawasi orang bawahan

  6. Menyampaikan dakwah

  7. Wujudkan perpaduan Ummah

  8. Menjadi contoh

  9. Melindungi rakyat dan negara

Di dalam Islam, terdapat ciri-ciri kepimpinannya yang tersendiri iaitu:

  1. Seorang yang setia (wala)

  2. Melaksanakan matlamat Islam yang menyeluruh

  3. Beriltizam dan beristiqamah dengan ajaran Islam

  4. Sentiasa menegakkan keadilan dan kebenaran

  5. Ikhlas dan jujur

  6. Menjadikan kepimpinan Rasulullah s.a.w sebagai contoh
Contohnya melalui kepimpinan empat khalifah terdahulu iaitu khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib yang mana kepimpinan mereka seharusnya diteladani. Selain itu juga melalui kepimpinan Hasan al-Banna dalam Ikhwanul Muslimin yang merupakan salah satu parti politik yang bersih bertujuan menyatukan suara rakyat, membersihkan dirinya dan keinginan peribadi, menentukan tujuan dan memperbaiki kepimpinan. Ia juga merupakan sebagai organisasi dakwah yang mana fokus gerakan dakwah yang dipimpin olehnya ialah melalui pembentukan peribadi-peribadi yang baik, maka akan terbentuk keluarga yang Islami, dan daripada keluarga yang Islami akan terbina sebuah masyarakat Muslim yang diredhai Allah s.w.t. Oleh yang demikian, para pemimpin perlu mengikut panduan yang paling benar iaitu al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Maka gunakanlah ia dalam metod kepimpinan dengan sebaiknya supaya ia tidak sekali-kali akan tersesat dengan dua rujukan berguna tersebut.



2 comments:

  1. salam....
    sebagai seorg pemimpin seharusnya melakukan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sebaiknya,,hal ini kerana pemimpin tersebut dilantik atas dasar kepercayaan rakyat ke atasnya,,,oleh itu,seorg pemimpin perlu ingat bahawa segala perbuatan yg dilakukan di muka bumi ini akan dipersoalkan oleh Allah di akhirt kelak,,wallahua'lam,,

    ReplyDelete
  2. salam.saya bersetuju dengan saudari Huda.. Pemimpin memang bertanggungjawab terhadap orang bawahannya dan perlu melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

    ReplyDelete