Tuesday, October 6, 2009

Budaya Hari 'April Fool'


Budaya 'April Fool' atau April's Fool Day ini telah menjadi amalan biasa oleh masyarakat kini termasuk orang Islam sendiri. April's Fool Day ini diraikan pada 1 April setiap tahun yang mana seperti yang kita ketahui, pada tarikh tersebut segala bentuk gurauan dan sendaan seolah-olah menjadi tabiat dan ianya dilakukan kepada rakan-rakan dan kaum keluarga dengan tujuan untuk mengenakan orang lain. Namun ada masanya gurauan tersebut agak melampaui batas dan bertentangan dengan adab tatasusila kepada mangsanya sehingga ia boleh menimbulkan pergaduhan dan perasaan benci serta dendam. April Fool ini juga merupakan satu contoh budaya negatif iaitu ianya diambil dan ditiru daripada negara Barat. Budaya ini boleh menyebabkan kehidupan sosial masyarakat jauh menyimpang daripada akhlak yang murni di mana akibatnya umat Islam semakin lama semakin terhakis serta hilang jati diri mereka. Dalam pada masa yang sama budaya April Fool ini nyata sekali mempersendakan sesama manusia dan ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w juga melarang keras manusia memperolok-olokkan sesama manusia lain dan tujuannya jelas mempermainkan serta mempersendakan lalu menjadi bahan ketawa rakan-rakan lain. Bagi yang menjadi mangsa pula, ia akan berasa amat malu apabila diketawakan dan diperlakukan sebegitu rupa. Sebagaimana dalam hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi, baginda bersabda yang bermaksud:

"Celakalah bagi orang-orang yang bercakap dengan percakapan lucu dengan tujuan mentertawakan manusia (agar manusia lain akan ketawa hasil dari percakapannya itu) lalu dia berbohong, celakalah baginya, celakalah baginya."

April Fool ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Terdapat dua cerita berkaitan dengannya iaitu salah satunya ialah kisah yang berlaku di Granada, Sepanyol ketika umat Islam kalah dalam menentang tentera salib. Inilah kisah realiti di sebalik budaya April Fool ini, orang Islam khususnya sangat seronok menyambutnya pada masa kini sedangkan dalam sejarah, umat Islam telah berpecah belah dan terpaksa tunduk pada kekuasaan tentera salib akibat kelalaian mereka sendiri. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merenungkan kembali mengenai budaya April Fool ini yang mana ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Umat Islam kini mudah dipergunakan dan terpengaruh dengan budaya yang datang daripada barat tanpa memikirkan kesannya. Justeru itu, umat Islam perlu sedar dan berhati-hati dalam menerima segala bentuk budaya kerana ditakuti bertentangan denga akidah Islam walaupun pada mulanya ia sekadar suka-suka tanpa berniat jahat tetapi tidak mustahil akan berakhir dengan tragedi yang tidak diingini dalam budaya April Fool ini.


2 comments:

  1. Asalamualaikum...budaya sebegini seharusnya kita lumpuhkan.Dlm pada masa skrg, amalan ini telah menjadi budaya dr kalangan umat sendiri.oleh yang demikian,kita sebagai pendakwah harus peka dengan masalah ini dan bersama2 memberi kesedaran kepada mereka

    ReplyDelete
  2. salam.ini merupakan gerakan halus musuh islam yang ingin melihat kejatuhan dan kemusnahan agama islam..kita sebagai pendakwah perlu memberi kesedaran kepada mereka yang masih tidak tahu muslihat musuh Islam ini.

    ReplyDelete